Penerbit Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ialah sebuah pusat yang dipertanggungjawabkan oleh UMT untuk melaksanakan dasar penerbitan yang telah ditetapkan dan mengurus semua hal berkaitan dengan penulisan dan penerbitan ilmiah serta penerbitan korporat universiti. Penerbitan yang lahir dari sesebuah institusi merupakan satu wadah yang menghubungkan cetusan ilham dan ekspresi karya serta kekayaan ilmu komuniti tersebut dengan masyarakat luar. Menerusi penerbitan, ilmu yang diterokai oleh para penyelidik dan ilmuwan akan dapat didokumentasikan dalam bentuk kekal lalu dimanfaatkan oleh masyarakat keseluruhannya. Hasil terbitan yang berkualiti akan menjadi sumber rujukan dan panduan bukan sahaja bagi masyarakat tempatan malah akan dihayati oleh pembaca luar.

Penerbit UMT memacu kegemilangan bidang penerbitan menerusi visi “Merealisasikan hasrat untuk menjadi wadah penerbitan ilmiah yang berkualiti dan tersohor” dan misi “Menerbitkan bahan penerbitan berkualiti dan tersohor sejagat dalam bidang Sains, Teknologi dan Pengurusan Sumber Alam yang dapat menyumbang kepada peningkatan dan penerokaan ilmu serta pembangunan agama, bangsa dan negara”. Dengan slogan “Menjana Khazanah Ilmuwan”, Penerbit UMT berhasrat untuk mewarnai kanvas penerbitan universiti dalam pelbagai bidang ke peringkat lokal dan global.