Tahun 2023 diibaratkan sebagai tahun cemerlang buat Penerbit UMT dengan meraih anugerah berganda. Terkini, Penerbit UMT telah dinobatkan sebagai Pemenang Utama Penerbit Harapan sempena Anugerah MAPIM-KPT ke-14.

Dalam anugerah MAPIM ini, Penerbit UMT turut membawa pulang dua anugerah lain iaitu Pemenang Utama Buku Ilmiah Terbaik Kategori Kemanusiaan dan Sains Sosial dengan buku yang bertajuk Parliament and Deliberative Practices: Malaysia Under Barisan Nasional. Buku ini ditulis oleh Prof. Madya Dr. Nazli Aziz dari Fakulti Pengurusan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS).

Manakala makalah jurnal dari Journal of Sustainability Science and Management (JSSM) bertajuk Effect of Thermo-Photocatalytic Process Using Zinc Oxide and Degradation on Macro/Micro- Plastic in Aqueous Environment diangkat sebagai Pemenang Penghargaan bagi Anugerah Makalah Jurnal Terbaik (SST) Indeks Antarabangsa.

Momentum Kecemerlangan Penerbit UMT diteruskan dengan turut meraih Anugerah Buku Negara 2023 dalam kategori Pengajian Tinggi: Buku Perikanan Terbaik. Buku berjudul Marine Fishes of Kuantan: Malaysian Biodiversity Information System (MYBIS) ini ialah hasil suntingan Prof. Mdya Dr. Seah Ying Giat, Mohd Sharol Ali, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar dan Dr. Tun Nurul Aimi Mat Jaafar.